nukilan

Sunday, July 26, 2015

punca fibroid


Apa punca fibroid
Fibroids adalah sejenis tumbuhan daging yang berasal dari otot rahim (myometrium) dan ia merupakan tumbuhan yang paling sering melanda wanita dan ia bukan kanser. Ramai wanita yang ada fibroid dalam rahimnya tanpa disedari, ia tidak menimbulkan apa2 simptom atau gejala. Bila meningkat umor empat puluhan , 30% wanita ada tumbuhan fibroids.
Ada yang tumbuh satu sahaja dan besar, ada yang banyak ketul, pernah saya buang 33 biji fibroid dari seorang wanita.

Apakah Ketumbuhan Fibroid?
Ketumbuhan fibroid ialah sejenis ketumbuhan yang berlaku pada dinding rahim, khususnya pada lapisan otot. Sebenarnya, rahim mempunyai tiga lapisan. Lapisan paling luar ialah lapisan yang nipis yang dinamakan serosa. Bahagian tengahnya ialah lapisan otot atau myometrium yang boleh mengembang dan membesar ketika seseorang wanita sedang hamil. Ketika kandungan dalam peringkat pelahiran sebelum bersalin, otot ini akan menguncup untuk mengeluarkan bayi dan setelah bersalin, otot ini akan kuncup dan pulih seperti sediakala. Walaubagaimanapun, ketumbuhan boleh berlaku pada lapisan otot ini, iaitu ketumbuhan yang mengandungi tisu-tisu otot bercampur dengan tisu berserat atau tisu penyambung.

Lapisan paling dalam ialah lapisan endometrium. Lapisan ini sering berubah-ubah mengikut pusingan haid. Apabila seseorang wanita tidak hamil, maka sebahagian daripada lapisan endometrium akan luruh dan ia akan keluar bersama-sama dengan darah haid. Darah haid adalah campuran antara darah dengan tisu-tisu dan sel-sel dari lapisan endometrium, lendir serta kuman-kuman bakteria dan lain-lain. Biasanya, campuran ini dinamakan “darah kotor”. Sebenarnya, darah tidak akan menjadi 'kotor' sebelum ia keluar dan bercampur dengan bahan-bahan yang saya nyatakan tadi.

Mengapa Tumbuh Fibroid?
Ramai orang tertanya-tanya mengapa seseorang wanita ditumbuhi fibroid pada lapisan dinding rahim. Sebenarnya, punca bagi penyakit ini tidaklah diketahui, dan mengapa ia tumbuh pada sesetengah orang sedangkan yang lainnya tidak. Ada satu kajian yang menunjukkan bahawa lebih kurang 25 peratus daripada wanita sebelum meninggal dunia akan menghidapi penyakit fibroid pada rahimnya tetapi tidak semua mengunjungi dan mendapat rawatan daripada doktor kerana kebanyakan fibroid ini tidak menimbulkan sebarang tanda atau menggangu kesihatan.

Ada yang mengatakan, bahawa ketumbuhan fibroid ini sering berlaku di kalangan wanita yang tidak berkahwin atau lambat berkahwin dan juga yang berkahwin tetapi sukar untuk mengandung dan beranak. Saya juga sering menjumpai fibroid di kalangan wanita yang mengalami masalah ketidaksuburan atau kemandulan. Di samping ketumbuhan fibroid, mereka juga menghidap penyakit endometriosis, iaitu sejenis penyakit di mana darah kotor melimpah ke belakang rahim menyebabkan berbagai-bagai masalah pada saluran peranakan, kilang telur dan persekitaran rahim.

Mana yang timbul dahulu, fibroid ataupun masalah ketidaksuburan tidaklah diketahui. Bagaimanapun, apa yang nyata masalah ketidaksuburan sering berkait rapat dengan ketumbuhan fibroid. Walaupun demikian, wanita yang pernah beranak juga tidak terlindung daripada penyakit fibroid. Seringkali kita lihat di kalangan wanita yang menjangkau ke umur tiga puluhan atau empat puluhan dan setelah anak mereka besar walaupun mereka telah melahirkan mungkin empat atau lima orang anak selepas itu, mereka mendapati sukar untuk beranak lagi dan beberapa tahun kemudian mereka mengalami berbagai-bagai masalah serta gangguan haid, dan apabila diperiksa didapati mereka mengalami ketumbuhan fibroid.

Fibroid Akibat Ketidakseimbangan Hormon
Ada orang mengatakan, bahawa ketumbuhan fibroid ini adalah akibat daripada ketidakseimbangan dalam hormon wanita. Perlu diberitahu di sini, bahawa wanita mempunyai dua jenis hormon, iaitu estrogen dan progesteron. Biasanya, estrogen meningkat naik sejurus selepas haid dan paras progesteron pula meningkat selepas telur dikeluarkan, iaitu dua minggu selepas keluar haid sehingga tempoh haid akan datang. Oleh itu, keadaan yang tidak seimbang, khususnya jika terlalu banyak estrogen dan tidak mencukupi progesteron dalam badan seseorang, boleh menimbulkan berbagai-bagai masalah seperti pendarahan yang tidak tentu masa, ketumbuhan fibroid pada rahim serta keadaan ketidaksuburan atau kemandulan.

Sukar untuk kita ketahui, mengapa kandungan estrogen dan progesteron menjadi tidak seimbang kerana segala-galanya adalah dikawal oleh hormon yang dikeluarkan oleh kilang pituitari yang terletak di dalam otak. Fungsi kilang pituitari ini mudah dipengaruhi oleh keadaan mental, emosi dan rohaniah seseorang. Jika ada gangguan pada tahap tersebut, maka rangkaian hormon yang mengawal pusingan dan mengawal paras estrogen dan progesteron boleh terganggu. Desakan dan tekanan hidup yang sering dialami oleh kebanyakan wanita yang bekerja juga akan mengganggu kawalan dan fungsi rangkaian hormon yang mengawal pusingan haid seseorang. Oleh itu, keadaan seperti ketidaksuburan dan penyakit ketumbuhan pada rahim serta endometriosis sering berlaku di kalangan wanita moden yang bekerja.

Tidak ada bukti-bukti yang menunjukkan, bahawa ketumbuhan fibroid ini dipengaruhi oleh unsur-unsur lain seperti makanan, keracunan ataupun jangkitan kuman.


 * copy paste

waktu subur wanita


 
 
KENAPA PERLU TAHU WAKTU SUBUR WANITA?
1. Untuk memudahkan mendapat zuriat
2. Untuk mengelakkan daripada mendapat zuriat
Kedua-duanya adalah sama penting.
Ilmu ini mungkin boleh anda sebarkan dan digunakan secara
praktikal.

JOM KITA FAHAMI KITARAN HAID WANITA
Kitaran haid ini agak kompleks dan susah sikit untuk difahami. Kitaran haid wanita berlaku setiap bulan secara puratanya ialah 28-30 hari. Tapi wanita masing-masing ada kitarannya sendiri, ada yang 25 hari ada juga yang lewat sehingga 35 hari. Tetapi secara puratanya ialah 28-30 hari.Terdapat beberapa fasa dalam kitaran haid wanita.

Hari 1-4
Ini dipanggil fasa pengeluaran haid (menstruation) - ketika ini darah haid keluar. Hari pertama period adalah penting untuk diketahui kerana ia adalah di mana fasa ini bermula. Pada hari pertama haid datang, ia perlu ditanda di kalendar dan tamat selepas beberapa hari. Sebaik-baiknya ditanda setiap bulan sekiranya anda ingin merancang untuk mengandung. Anda boleh mengagak kitaran period anda beberapa hari di dalam sebulan.

Hari 5-13
Ini dipanggil fasa follicular. Pada fasa ini, hormon estrogen meningkat. Ketika fasa follicular ini, darah akan berkumpul di dinding rahim dan menebal untuk persediaan mengandung. Di kawasan ovari pula, telur yang berada di dalam bekasnya akan menjadi semakin matang.

Hari 14
Waktu inilah satu proses peneluran yang dipanggil ovulasi berlaku. Telur akan terkeluar daripada sarangnya disebabkan oleh peningkatan mendadak sejenis hormon yang dipanggil Luteinizing Hormone (LH). Telur ini sekiranya tidak disenyawakan oleh sperma akan mati dan hilang. Sekiranya ia disenyawakan, ia akan turun melalui saluran falopio ke rahim.

Hari 15-28
Ini dipanggil fasa luteal atau fasa secretory. Selepas telur dikeluarkan dari sarangnya sejenis hormon dipanggil progestrone di rembes daripada sarangnya (corpus luteum). Ini menyebabkan dinding rahim semakin menebal. Setelah progestrone semakin berkurang kerana tiada persenyawaan berlaku, maka dinding ini akan runtuh sebagaimana runtuhnya tembok Berlin. Proses akan mengalami kitaran semula pada hari pertama.

BILAKAH WAKTU SUBUR?
Setelah anda faham kitaran haid di atas, waktu yang terbaik untuk bersama suami-isteri ialah pada hari ovulasi berlaku. Ini adalah kerana ketika itu telur baru sahaja keluar daripada sarangnya.
Bilakah secara tepat ia berlaku? Sebenarnya ia adalah lebih kurang 14 hari daripada hari pertama period seterusnya atau ketika fasa luteal bermula.Ini adalah kerana fasa luteal pada kiraannya adalah biasanya tepat 14 hari setelah berlakunya ovulasi, sedangkan fasa folicullar boleh berubah-ubah. Jadi waktu subur adalah 14 hari sebelum hari pertama period seterusnya. Sekiranya period anda adalah tetap 28 hari,tak jadi masalah untuk mengira waktu subur anda. Sekiranya period anda berubah-ubah, inilah timbulnya masalah mengira waktu subur.

CARA LAIN MENGETAHUI WAKTU SUBUR
Pada waktu subur, suhu badan wanita akan naik sedikit dalam
satu darjah celcius. Juga terdapat lendiran cecair yang jernih daripada kemaluan. Ini adalah disebabkan hormon yang meningkat ketika ini.

MENGANGGAR WAKTU TERBAIK UNTUK MENDAPATKAN ZURIAT
Oleh kerana telur atau ovum tidak mempunyai jangka hayat yang panjang, iaitu dalam lingkungan 1-2 hari sahaja, maka tingkap untuk mendapatkan zuriat adalah sangat terhad. Oleh itu sperma dicipta dengan kelebihan yang lain pula.Selain daripada berjuta-juta sperma dilepaskan (setiap seorang lelaki adalah jutawan), ia juga boleh bertahan selama 3-5 hari. Ini bermakna, sekiranya suami isteri bersama 3 hari sebelum waktu subur, atau 2 hari selepas waktu subur, maka ada peluang untuk telur itu berjumpa dengan sperma yang hidup lebih lama.Oleh itu, untuk mendapatkan zuriat, pasangan boleh bersama setiap hari (malam / siang) pada hari ke 11,12,13,14,15,16 period untuk mendapatkan waktu optimum hari kesuburan sekiranya period anda datang 28 hari. Itu adalah
menganggarkan waktu subur adalah pada hari ke 14

* copy paste

5 penyakit utama wanita

 
 
KENALI 5 PENYAKIT UTAMA WANITA

Fibroid
Fibroid ialah ketumbuhan biasa atau ketumbuhan benigna yang mengandungi tisu-tisu otot dan berlaku di dalam rahim. Ketumbuhan fibroid menyerang lebih seorang daripada setiap lima orang wanita di bawah umur 50 tahun. Kajian menunjukkan bahawa sebanyak 20 peratus wanita dalam lingkungan usia subur, iaitu 30 hingga 40 tahun menghidap fibroid. Mereka yang berisiko untuk menghidap fibroid ialah wanita pada usia subur (30 – 40 tahun), wanita yang mempunyai berat badan yang berlebihan atau indeks jisim badan melebihi 25kg/ m², wanita yang mempunyai ahli keluarga yang pernah mengalami fibroid dan wanita yang tidak pernah melahirkan anak (nulliparous). Ada fibroid yang mencetuskan simptom dan ada juga yang berlaku tanpa simptom. Secara umumnya, wanita yang berada dalam lingkungan usia subur akan berisiko tinggi untuk menghidap fibroid. Dalam lingkungan umur ini, wanita digalakkan untuk hamil dan melahirkan anak.

Endometriosis
Endometriosis mengambil maksud daripada perkataan endometrium, iaitu endo, ‘dalam’, dan metra, ‘rahim’. Ianya membawa maksud kepada keadaan atau kejadian di mana lapisan tisu yang melitupi bahagian dalam rahim didapati berada di luar kawasan rahim, atau kawasan lain pada sekitar sistem reproduksi seseorang wanita. Simptom utama penyakit ini adalah sengugut dan sakit pada bahagian pelvik. Di Malaysia, tiada statistik khusus yang dijalankan bagi pengidap endometriosis. Endometriosis merupakan masalah yang kerap berlaku. Hampir satu pertiga pengidap endometriosis menjadi punca mandul (infertiliti) dalam kalangan wanita.

Sindrom Ovari Polisistik (PCOS)
PCOS merupakan gangguan hormon yang paling tinggi dalam kalangan wanita yang berada pada peringkat subur dan menjadi salah satu faktor ketidaksuburan (infertiliti) dalam kalangan wanita. Gejala sindrom ini berbeza antara wanita yang menghidapinya. Namun, punca berlakunya sindrom ini masih belum diketahui secara jelas. Gejala PCOS boleh menjadi tidak ketara atau ketara dan ia berbeza antara seorang penghidap dengan penghidap yang lain. Antara gejala yang mungkin berlaku termasuklah kedatangan haid yang sedikit dan tidak teratur atau mengalami oligomenorea dan kadangkala amenorea (ketiadaan haid), bulu roma yang berlebihan tumbuh di badan (hirsutisme), masalah jerawat yang teruk dan kronik, masalah obesiti, masalah keguguran berulang, masalah kulit menjadi lebih gelap (akantosis nigrikan), dan juga masalah kebotakan menyerupai lelaki (male baldness).

Anorexia Nervosa
Anorexia atau nama saintifiknya ‘Anorexia Nervosa’ berasal daripada gabungan perkataan Greek (Anerektos) dan Latin (Nervosa) yang membawa maksud tiada selera dan juga gangguan makan akibat kesan psikologi dan fizikal yang teruk. Ia adalah sejenis gangguan disebabkan oleh peraturan sendiri yang terlalu ketat berhubung dengan cara berdiet dan akhirnya mengakibatkan gangguan makan yang dimanifestasi oleh penolakan makanan yang mengakibatkan berat badan berkurangan sampai ke tahap yang membahayakan. Penderita ingin menjadi kurus kerana kegemukan dianggap tidak menarik, tidak sihat, tidak mengikut ‘trend’ dan juga tidak diinginkan. Kecelaruan gaya pemakanan merujuk kepada obsesi seseorang yang terlalu memikirkan mengenai berat badan dan apa yang dimakan. Obsesi ini mempengaruhi tabiat dan gaya makan serta segala aktiviti harian yang berkait langsung dengan makanan.

Menopaus
Putus haid atau menopaus ialah waktu pertengahan usia seseorang wanita itu, apabila dia berhenti mengeluarkan haid. Hal ini terjadi, apabila ovari (kilang telur) berhenti menghasilkan telur. Biasanya, menopaus terjadi secara perlahan-lahan dalam suatu jangka waktu yang panjang. Namun begitu, ada juga kes yang berlaku secara mendadak. Kesannya, ia akan mempengaruhi hormon, badan dan perasaan seseorang wanita. Ada sebahagian wanita tidak merasakan apa-apa perubahan atau gangguan, manakala sebahagian besar mengalami gangguan vasomotor (seperti hangat memerah, berpeluh, susah tidur, berdebar-debar, panas baran, pelupa, mudah berkecil hati, kurang konsentrasi), fizikal dan kejiwaan (seperti kemurungan dan stres) yang boleh mengurangkan dan mengganggu gugat kualiti hidup. Dalam hal ini, sepasang suami isteri perlu mempunyai pengetahuan tentang menopaus.